Isu Lambat Kahwin

Saturday, May 27, 2006

Tunjukan manakah jalan-jalan penyelesaian

Misyar bukan penyelesaian
Oleh MOHD. SHAUKI BIN ABD. MAJID (Penolong Pengarah YADIM)
PERKAHWINAN merupakan proses transformasi yang paling besar dalam kehidupan seseorang insan. Allah s.w.t membicarakan perkara ini di dalam al-Quran dengan menyatakan perkahwinan itu adalah mitsaqan ghaliza (ikatan paling kukuh). Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Dan kamu hanya dapat berhubungan biologi dengan mereka secara halal melalui kalimat-kalimat Allah. (HR. Muslim).
Oleh hal yang demikian, alam perkahwinan itu sangat mulia sifatnya dan mempunyai nilai ibadah di sisi Allah. Manusia harus sedar bahawa perjalanan seseorang insan hidup di muka bumi ini bukan sekadar memenuhi nafsu syahwat. Begitu juga alam perkahwinan yang mempunyai maksud dan tujuan amat besar. Perkahwinan disifatkan amalan mulia kerana tujuan sebenar menurut Islam adalah membentuk keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah yang menjadi generasi pewaris kepada perjuangan menyebarkan syiar Islam.
Mutakhir ini, beberapa negara Islam dilanda fenomena perkahwinan misyar yang agak serius. Hal ini disebabkan perubahan budaya dan pemikiran dalam kehidupan. Perkahwinan jenis ini bukanlah perkara baru tetapi wujud sejak zaman dahulu dan menamakan perkahwinan ini sebagai ‘misyar’.
Perkahwinan misyar terjadi akibat pengaruh asimilasi budaya antara negara dan daerah-daerah di dunia. Hakikatnya, perkahwinan misyar dilaksanakan oleh seorang lelaki melalui akad nikah yang sebenar, cukup rukun dan syarat sah nikah Namun, isteri perlu mengalah daripada menuntut haknya seperti mendapat tempat tinggal yang disiapkan suami.
Sekiranya si suami berpoligami, hak mendapat nafkah yang adil tidak diterima sepenuhnya di antara si isteri dengan isteri-isteri yang lain. Oleh hal yang demikian, si isteri harus dengan rela hati tinggal di rumah bersama keluarganya.
Zuriat
Benarkah seorang lelaki yang berkahwin boleh berada di sisi isteri dalam tempoh tertentu sahaja seperti sehari dalam seminggu atau sebulan dua dalam setahun? Kemudian si suami akan meninggalkan isterinya dan mencari kenikmatan dunia yang lain? Adakah wanita atau isteri itu dikahwini sekadar untuk mendapatkan zuriat sehingga diabaikan tanggungjawab dan hak-hak yang lain?
Sekiranya perkahwinan seperti ini terjadi, jelas berlaku penyimpangan terhadap maksud sebenar Allah mensyariatkan perkahwinan kepada umat Muslim. Dan, hal yang demikian ini jelas melanggar perintah Rasulullah kepada umatnya dalam sabda baginda: Bernikahlah kamu, berketurunanlah kamu, sesungguhnya aku (berbangga) banyak umatku keranamu (atas umat yang lain). (HR. Abu Daud, an- Nasai, dan al-Baihaqi).
Menurut mufti Mesir, Dr. Nashir Farid Washil, ketika diwawancara dalam majalah Akhir Sa’ah (Detik Terakhir), perkahwinan jenis ini tidak ada dasarnya dalam ilmu fikah. Ia diambil daripada realiti kehidupan yang mementingkan kebendaan. Oleh kerana kehidupan sesetengah manusia yang sering berjalan dan berpindah-randah, maka ada di kalangan ahli syariat dalam negara tertentu memikirkannya, apakah seseorang perempuan lebih baik hidup selamanya tanpa suami atau dia terpaksa mengalah dari sebahagian hak-haknya untuk berkahwin?
Mungkin ada sesetengah pendapat terutamanya para wali dan ibu bapa yang bersetuju kerana lebih baik seseorang wanita itu berkahwin. Justeru, dalam fikah perkahwinan misyar ini tidak ada asal usulnya tetapi menurut syariat, perkahwinan ini adalah sah.
Perkahwinan ini hanya membentuk kedudukan yang paling rendah dari segi hubungan suami isteri. Ia jelas lari dari tujuan sebenar perkahwinan iaitu untuk mewujudkan keluarga bahagia, menghasilkan keturunan serta membangunkan generasi yang baik. Dalam perkahwinan misyar, harga diri seorang suami adalah rendah kerana semua tanggungjawab dan kewajipan suami terhadap isteri tidak terletak pada dirinya. Sebaliknya, seorang suami itu menjadi tanggungan isteri. Perkahwinan misyar tidak memenuhi prinsip adil kepada mereka yang berpoligami kerana seseorang suami boleh tinggal dengan salah seorang isteri selama beberapa hari, sedangkan di tempat lain untuk tempoh yang lama.
Perkahwinan misyar boleh memberi impak besar ke atas emosi isteri kerana ditinggalkan terlalu lama. Bahkan, ini dikhuatiri mengundang gejala negatif kerana tidak semua wanita boleh bersabar.
Keperluan nafkah batin di antara wanita dengan wanita lain adalah berbeza-beza. Secara tidak langsung, institusi rumah tangga turut menerima implikasi khususnya terhadap jiwa anak-anak. Oleh itu, perkahwinan ini hanya menambahkan permasalahan boleh menghancurkan institusi kekeluargaan serta tidak bertepatan dengan hukum syariah.
Kecenderungan seksual adalah kecenderungan yang menyebabkan timbulnya “al-misyar”, justeru berasaskan kecenderungan ini maka Allah mensyariatkan perkahwinan dengan hukum-hukum dan ketentuan-ketentuannya. Tapi kita harus memudahkan bukan merumitkan, pada saat kita memudahkan pintu-pintu yang halal maka pintu-pintu yang haram akan tertutup, tetapi apabila kita menyulitkan pintu-pintu halal, maka pintu-pintu yang haram akan terbuka. Tidak ada penyelesaian dari krisis ini kecuali kembali kepada apa yang diperintah oleh Allah dan rasul–Nya. Nabi bersabda yang bermaksud: Carilah mahar walau cincin daripada besi.
Inilah Islam, akan tetapi kita sering mencari jalan yang aneh dan cacat seperti perkahwinan misyar.
Berdasarkan kepada tujuan-tujuan perkahwinan yang dinyatakan tadi, seharusnya umat Islam bersama-sama menyelesaikan permasalahan ini. Perkahwinan misyar bukan jalan penyelesaian terbaik kepada masalah ramai wanita yang tidak berkahwin dan juga masalah maksiat dalam masyarakat.

-----------

Sumber : Utusan Online

Friday, May 26, 2006

Salah satu jalan keluar..


Nik Aziz setuju lelaki dibenar kahwin misyar
Oleh: NIZAM YATIM
KOTA BHARU 26 Mei - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (kiri) bersetuju dengan cadangan supaya kaum lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.
Beliau berkata, Islam membenarkan perkahwinan seumpama itu tetapi dengan syarat mendapat keizinan wanita yang akan dikahwini dan diadakan perjanjian bertulis antara kedua-dua belah pihak.
``Mesti ada pengakuan bertulis daripada perempuan dalam perjanjian yang menyatakan bahawa saya izinkan suami tidak beri duit serta nafkah zahir lain dan tidak cukup giliran pun tidak apa,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di pejabat Pas negeri di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid kelmarin supaya perkahwinan itu dibenarkan kerana membawa pelbagai kebaikan termasuk mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.
Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.
Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, perjanjian bertulis hanyalah satu keperluan dari segi teknikal bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah sekiranya isteri yang dikahwini secara misyar berubah fikiran dan membuat tuntutan untuk mendapatkan nafkah zahir di mahkamah.
Mengenai bantahan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam - termasuk oleh Dewan Muslimat Pas sendiri - dengan alasan masalah wanita tidak berkahwin tidak harus dilayan sebagai kes kebajikan, Nik Abdul Aziz berkata:
``Golongan wanita tidak sepatutnya rasa terhina kerana ia dibuat hanya setelah mendapat keizinan bakal isteri.
``Nak hina macam mana, dia sendiri izin, orang nak kahwin dengan saya dan saya hendak beri rumah sebuah, mari dua kali seminggu pun tak apa,'' ujarnya.
Tambah Nik Abdul Aziz, pandangan beliau itu bukan sahaja merujuk kepada rakyat Kelantan malah untuk semua orang kerana Islam itu untuk seluruh dunia.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada pelaksanaan perkahwinan misyar itu akan melibatkan pindaan enakmen agama Islam di negeri-negeri.
Ketua Muslimat Pas, Azizah Khatib Mat semasa menolak cadangan kahwin misyar itu semalam berkata, cara itu tidak sesuai dipraktikkan di negara ini.


Sumber : Utusan Online

Thursday, May 25, 2006

Jangan Layan Golongan ini... Sharizat

Debat kahwin misyar -- * Menteri, mufti tolak * Persatuan Ibu Tunggal, pensyarah sokong
Oleh: NORIZAN ABDUL MUHID dan WAN MOHD. HAFIZ WAN HAMZAH
KUALA LUMPUR 25 Mei - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menolak cadangan supaya lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar dengan alasan tidak sesuai dengan keperluan masyarakat negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya tidak mahu mempromosikan perkahwinan misyar kepada masyarakat negara ini kerana dikhuatiri akan mendatangkan implikasi negatif.
Bagaimanapun dalam reaksi berbeza, Ketua Jabatan Dakwah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Mohd. Kamil Abdul Majid dan Persatuan Ibu Tunggal Terengganu (PITT) menyokong pelaksanaan perkahwinan itu.
Ketika menegaskan pendirian kementeriannya, Shahrizat berkata, umat Islam Malaysia hari ini tidak memerlukan perkahwinan misyar.
``Kenapa perlu, jika diikutkan nisbah antara wanita dan lelaki, ia tidak ketara perbezaannya.
``Malah, isu wanita tidak berkahwin bukan satu masalah dan mereka ini tidak sepatutnya dilayan sebagai kes kebajikan, golongan ini harus dihormati.
``Jangan layan golongan ini seperti itu, sebenarnya mereka ini lebih bahagia daripada memilih untuk berkahwin,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Shahrizat mengulas cadangan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid semalam supaya golongan lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.
Malah, Mahmud Zuhdi berpendapat, perkahwinan tersebut juga mampu mengurangkan perlakuan maksiat di dalam masyarakat.
Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.
Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.
Shahrizat berkata, syarat asas perkahwinan menetapkan bahawa suami berperanan memberi nafkah zahir dan batin kepada wanita.
Malah, katanya, berdasarkan kajian kementerian mendapati, kira-kira 711,000 keluarga pada 1994 menunjukkan wanita menjadi penyumbang utama kepada pendapatan keluarga.
Beliau juga menegaskan walaupun perkahwinan misyar dipraktikkan di negara Islam lain, ia tidak semestinya wajib diamalkan di negara ini.
``Ini kerana, kita mempunyai cara dan budaya berbeza, tidak sama dengan negara-negara Arab terbabit,'' katanya.
Sementara itu, ketika mempertahankan hujahnya mengenai kebenaran perkahwinan misyar, Mohd. Kamil berkata, amalan itu boleh menjadi satu alternatif untuk membantu golongan wanita yang berdepan dengan masalah atau situasi tertentu.
Katanya, perkahwinan tersebut juga boleh dijadikan jalan keluar bagi menyelesaikan masalah ibu tunggal atau andartu yang berharta.
Beliau menjelaskan amalan perkahwinan misyar ini tidak melanggar hukum syarak, asalkan ia dibuat berdasarkan persetujuan di antara pihak lelaki dan wanita.
``Namun, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih serius serta ditetapkan beberapa peraturan atau garis panduan supaya tidak ada pihak yang teraniaya,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd. Kamil berharap, semua pihak dapat memandang isu itu dari aspek positif dan tidak hanya melihat dari sudut negatif sahaja.
Di samping itu, beliau turut menyentuh pemahaman umat Islam di negara ini mengenai definisi nafkah batin yang digunakan dalam bab nikah kahwin.
Menurutnya, apabila disebut nafkah batin, ramai yang memikirkan ia hanya berkisar perlakuan seksual semata-mata.
``Seks hanya salah satu cabang bagi maksud nafkah batin. Selain seks, berkongsi masalah, mendengar luahan isteri, berbual dan bermesra serta mendidik ajaran agama terhadap isteri juga termasuk dalam definisi nafkah batin,''katanya.

Sumber : Utusan Online

Syarizat pernah setuju dan berkempen monogami

Wednesday, May 24, 2006

Perkahwinan Misyar

Syor benarkan lelaki mengamalkan perkahwinan misyar
Oleh: WAN MOHD. HAFIZ WAN HAMZAH
KUALA LUMPUR 24 Mei - Seorang pensyarah universiti hari ini mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.
Malah menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid, perkahwinan tersebut juga mampu mengurangkan perlakuan maksiat di dalam masyarakat.
Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.
Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.
Beberapa ulama termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fatwa Muasaraahnya berpendapat nikah misyar adalah sah.
Mereka membenarkan amalan tersebut berdasarkan situasi mashalahat berlakunya ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin.
Perkahwinan misyar difatwakan harus oleh beberapa ulama negara Arab dan telah pun diamalkan di Arab Saudi serta beberapa buah negara Teluk.
Perbezaan antara perkahwinan misyar dengan mutaah ialah mutaah mempunyai tarikh atau tempoh tertentu bagi sesebuah perkahwinan manakala misyar tiada tempoh ditetapkan.
Isu nikah misyar mula menjadi tumpuan apabila beberapa pihak menggesa supaya Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa sama ada ia boleh dilaksanakan di negara ini atau tidak.
Ini kerana ada umat Islam di Malaysia yang berpendapat bahawa pernikahan tersebut merupakan salah satu cara bagi mengatasi masalah ramai wanita yang belum berkahwin.
Mahmud Zuhdi berkata, amalan perkahwinan misyar boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.
``Jika pihak isteri bersetuju bahawa lelaki tidak perlu memberi nafkah zahir seperti menyediakan rumah, pakaian dan sebagainya, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap nafkah batin saja, maka ia tidak menjadi masalah,'' tegasnya.
Apa yang menjadi masalah kata beliau, apabila timbul pertikaian berhubung siapa yang bertanggungjawab memberi nafkah dalam rumahtangga.
``Sekiranya tidak timbul soal siapa yang patut memberi nafkah atau siapa yang patut menanggung siapa, maka perkahwinan seperti itu tidak ada masalah untuk diamalkan.
``Apatah lagi dalam keadaan hari ini, wujudnya masalah ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin,'' jelas beliau.
Mahmud Zuhdi berkata, amalan perkahwinan misyar boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak.
``Jika pihak isteri bersetuju bahawa lelaki tidak perlu memberi nafkah zahir seperti menyediakan rumah, pakaian dan sebagainya, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap nafkah batin saja, maka ia tidak menjadi masalah.
``Apatah lagi dalam keadaan hari ini, wujudnya masalah ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin,'' jelas beliau.
Mahmud Zuhdi berpendapat, perkahwinan seumpama itu sepatutnya dibenarkan, berdasarkan permasalahan yang berlaku pada masa kini.
Bagaimanapun, katanya perkahwinan ini harus dilakukan secara jujur dan tidak disalahgunakan bagi menganiaya kaum wanita.

Sumber : Utusan Online